Malaysia Jadi Tuan Rumah Piala Dunia 2026?

Posted by Rafhan on Friday, 21 January 2011

Prof Emeritus Khoo Kay Kim

Mengapa tidak Malaysia saja menganjurkan Piala Dunia berbanding cadangan menganjurkannya bersama negara Asean lain untuk bidaan 2026 atau 2030? Demikian antara persoalan yang dilontar pengkritik sukan tanah air, Tan Sri Dr Prof Emeritus Khoo Kay Kim ketika diminta mengulas kesediaan Asean mendapatkan hak selaku tuan rumah Piala Dunia ketika Menteri Luar, Datuk Anifah Aman menghadiri mesyuarat bersama rakan sejawatnya di Lombok, Ahad lalu.

Bukan memperlekehkan cadangan itu, sebaliknya bagi Kay Kim apa salahnya Malaysia berusaha membuat bidaan berbanding menganjurkannya bersama negara Asean lain kerana ia sebenarnya lebih mengusutkan keadaan. Masakan tidak, kata Kay Kim mustahil penganjuran Piala Dunia boleh dilaksanakan secara bersama dengan negara Asean lain sedangkan hubungan Malaysia dengan Indonesia saja sebagai contohnya, ketika ini agak tegang.

“Secara teori, cadangan ini sangat bagus kerana ada usaha membawa Piala Dunia ke negara Asean tetapi cadangan menganjurkannya secara bersama dengan semua negara Asean, amat mustahil dan sukar dilaksanakan kerana pasti akan ada perbezaan idea dan pandangan. “Sedangkan hubungan Malaysia dan Indonesia saja ketika ini tegang, apatah lagi mahu mendapat kesepakatan semua negara Asean. “Apa salahnya kita cuba menganjurkannya sendiri kerana ia tidak mustahil boleh dilaksanakan kerana tahun 2030 masih lama lagi.

“Jika benar-benar serius, kita perlu bermula sekarang dengan membentuk sebuah pasukan bola sepak yang mantap selain merancang membina infrastruktur diperlukan untuk Piala Dunia,” katanya ketika dihubungi semalam. Mungkin ada pihak menganggap ia seolah-olah angan-angan mat jenin, namun kata Kay Kim, sejarah membuktikan Malaysia mampu menganjurkan satu-satu kejohanan besar dengan baik dan sempurna. “Sukan Komanwel 1998 sebagai contoh bukti kita mampu menjadi antara penganjur terbaik,” katanya.

source: Harian metro

{ 0 orang bercakap... read them below or add one }

Post a Comment