Bantuan RM500 Untuk Setiap Isi Rumah : Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)

Posted by Rafhan on Thursday, 8 December 2011


KUALA LUMPUR 7 Dis. - Kementerian Kewangan hari ini menjelaskan bahawa isi rumah yang layak memohon pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500, merujuk kepada seorang lelaki atau wanita yang menjadi ketua kepada anggota keluarga yang tinggal serumah dan mempunyai pendapatan kasar isi rumah RM3,000 dan ke bawah.

"Ini merangkumi individu berkahwin; ibu atau bapa tunggal mempunyai tanggungan; bujang mempunyai tanggungan; dan warga emas (berumur 60 tahun dan ke atas) sebatang kara," kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam kenyataan hari ini.

Katanya, setiap anak berkahwin berpendapatan kasar isi rumah RM3,000 dan ke bawah tetapi tinggal serumah dengan ibu bapa, dikira sebagai satu isi rumah berlainan. "Pendapatan kasar isi rumah merujuk kepada pendapatan suami, isteri dan tanggungan yang masih bujang," katanya dan menekankan 'hanya ketua isi rumah layak untuk memohon'.

Kementerian Kewangan telah membuka Bilik Gerakan untuk operasi Talian Hotline BR1M 1-800-222-500 bermula hari ini bagi memudahkan orang ramai mendapat penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan BR1M. Talian Hotline ini beroperasi setiap hari bekerja, mulai pukul 9 pagi hingga 5 petang. Kementerian itu juga mengingatkan bahawa pendaftaran permohonan BR1M akan bermula pada 10 Disember ini hingga 10 Januari 2012. 

Borang pendaftaran boleh didapati secara percuma di Jabatan Pembangunan Persekutuan, Jabatan Penerangan Malaysia, Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), serta akhbar. Borang yang lengkap diisi perlu diserahkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan/Negeri, Jabatan Penerangan, Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat LHDNM.

Katanya, permohonan yang berjaya akan dimaklumkan melalui surat dan pembayaran akan dibuat mulai pertengahan Januari 2012.

- BERNAMA, myAdha

{ 0 orang bercakap... read them below or add one }

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...